Saturday, April 24, 2010

Ibu bapa sebagai pintu Syurga


Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:



“Sungguh hina, sungguh hina, sungguh hina!”


Baginda ditanya: “Siapakah wahai Rasulullah (yang hina itu)?” Baginda menjawab:


Orang yang mendapati orang tuanya dalam keadaan tua, sama ada salah seorang atau kedua-duanya, kemudian dia tidak memasuki syurga.[1]


Apabila ibubapa kita mencapai umur lanjut, lazimnya cabaran untuk berbuat baik kepada mereka menjadi lebih tinggi. Ini kerana umur yang lanjut selalunya sinonim dengan sifat yang lebih cerewet, celoteh yang pelbagai, kedegilan yang menjadi-jadi dan kesihatan yang semakin berkurang. Maka jika kita dapat bersabar dengan cabaran-cabaran yang kian bertambah ini, maka ia sebenarnya memudahkan lagi laluan ke syurga. Manakala jika kita tidak dapat bersabar, maka ia sebenarnya menyukarkan lagi laluan ke syurga.


Tidak berlebihan jika diumpamakan, berdasarkan hadis di atas, bahawa kita hendaklah memandang ibubapa yang sudah tua sebagai penjaga pintu syurga. Jika kita bersabar dan terus beristiqamah berbuat baik kepada ibubapa, maka mereka akan membuka pintu syurga kepada kita. Sebaliknya jika kita hilang sabar dan tidak berbuat baik kepada ibubapa, maka mereka akan menutup pintu syurga tersebut daripada kita.


Ibubapa yang sudah lanjut usianya juga telah mendapat perhatian di dalam al-Qur’an. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:


Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibubapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Uff”, dan janganlah engkau menengking (dan/atau) menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).
[al-Isra 17:23]

Sweet Family

Sweet Family
Blog Widget by LinkWithin
 

...::sweet mama::... Copyright 2009 Sweet Cupcake Designed by Ipietoon Blogger Template Image by Online Journal